mutakhir

Tukar pengakuan kepada tidak bersalah

Oleh Izlaily Nurul Ain Hussein

PENJAGA kolam udang yang sebelum ini mengaku bersalah bagi lima pertuduhan liwat dan seks luar tabii terhadap dua anak tiri lelaki berusia 11 dan tujuh tahun, menukar pengakuannya di Mahkamah Sesyen Johor Bahru, hari ini.

Tertuduh berusia 24 tahun itu menukar pengakuan kepada tidak bersalah dan mohon dibicarakan selepas semua pertuduhan dibaca semula jurubahasa mahkamah di depan Hakim Kamarudin Kamsun.

Lelaki itu didakwa melakukan perbuatan terbabit di beberapa lokasi di Mersing antara April tahun lalu hingga bulan lalu.

Bagi empat pertuduhan pertama, dia didakwa meliwat mangsa berusia 11 tahun, manakala bagi pertuduhan kelima, didakwa melakukan kelucahan melampau terhadap mangsa kedua berusia tujuh tahun.

Dia didakwa mengikut Seksyen 377 (C) dan 377 (C) (A) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh disebat jika sabit kesalahan.

Pada 24 Julai lalu, tertuduh mengaku bersalah di depan Hakim Mohammad Khalid Ab Karim dan selepas menerima pengakuan tertuduh, mahkamah menetapkan hari ini untuk jatuh hukum, namun tertuduh menukar pengakuannya.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Suhaila Shafi'uddin manakala tertuduh diwakili peguam Mohd Fadzli Mohd Ramly.

Pada prosiding hari ini, Suhaila tetap tidak menawarkan ikat jamin kepada tertuduh dengan mengambil kira kepentingan awam, tambahan mangsa adalah anak tiri tertuduh yang ibu mereka masih isteri sah kepada tertuduh.

"Tertuduh mungkin akan mengganggu mangsa jika dia berada di luar," katanya.

Namun, Mohd Fadzli menegaskan anak guamnya tidak akan mengganggu mangsa memandangkan dua kanak-kanak itu kini dalam bawah jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

"Saya percaya mahkamah boleh mengenakan syarat tambahan sekiranya jaminan dibenarkan selain bagi memastikan tertuduh tidak mengganggu mangsa," katanya

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM50,000 dengan seorang penjamin dan syarat tambahan tertuduh tidak boleh berhubung dengan mangsa serta perlu melapor diri di balai polis sebulan sekali.

Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 5 September ini.

Disiarkan pada: August 3, 2017 @ 12:07pm
d