mutakhir

Serah kad OKU anak supaya tak diganggu along

Oleh Yusmizal Dolah Aling

SEORANG ibu terpaksa menyerahkan kad Orang Kurang Upaya (OKU) milik anaknya kepada along sebagai jaminan pinjaman yang dibuat sejak 2014 kerana bimbang diganggu.

Dia yang mahu dikenali sebagai Habibah, 60, berkata, dia tidak mempunyai pilihan lain untuk melunaskan hutang kerana tidak bekerja dan perlu menanggung tiga lagi anak yang tinggal bersama di Sunway Semenyih.

“Saya menyerahkan kad itu bersama elaun RM200 sebulan yang diberikan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM),” katanya.

Dia berkata, keadaan itu menyebabkan dia kini berdepan masalah kewangan dan perlu mencari kediaman baru selepas dipaksa keluar dari rumah sewa kerana tunggakan empat bulan.

"Saya tidak bekerja dan sekarang ada masalah kesihatan. Hanya bantuan JKM itulah yang ada. Disebabkan takut, saya terpaksa serahkan kad OKU dan kad ATM kepada along. Saya benar-benar terhimpit dan rasa tidak selamat," katanya ketika membuat aduan kepada Perunding Masalah Ceti Haram (PMCH) Yati Abdul Razak, hari ini.

Habibah berkata, beban ditanggungnya menjadi berganda apabila suaminya menghilangkan diri sejak empat bulan lalu meninggalkan mereka sekeluarga dalam keadaan terumbang-ambing tanpa punca pendapatan dan dia hanya mengharapkan bantuan daripada tiga anaknya yang lain untuk meneruskan hidup.

"Saya nak cari rumah baru untuk anak-anak, terutamanya untuk anak sulung saya yang cacat fizikal. Tetapi saya buntu, tidak tahu di mana sumber yang ada. Anak-anak pun kerja biasa saja, cukup untuk makan pakai mereka saja," katanya.

Sementara itu, Yati berkata, pihaknya sudah berhubung dengan along terbabit untuk berbincang mengenai kaedah terbaik menangani masalah itu.

Ia termasuk penjadualan semula bayaran dengan kadar minimum kerana Habibah tidak bekerja selain perlu menguruskan anaknya yang turut membabitkan kos perubatan dan keperluan harian.

"Kita juga akan salurkan kepada mana-mana pihak yang sudi bantu kerana sebelum ini dia juga pernah bekerja sebagai pembantu am di sebuah pertubuhan politik selama lebih 35 tahun. Sekarang tiada pendapatan langsung melainkan bantuan JKM. Mereka yang ingin menghulurkan bantuan boleh hubungi sekretariat PMCH di 0123662127 ," katanya.

Disiarkan pada: August 3, 2017 @ 4:34pm
d