mutakhir

Tragedi hantar anak saudara

Oleh Siti Nor Amirah Abu Bakar

REMAJA perempuan maut selepas motosikal ditunggangnya terbabit kemalangan ketika menghantar anak saudara ke tadika di Jalan Sri Junjung, Pelabuhan Klang, hari ini.

Siti Nur Ain Abdullah, 15, maut di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala manakala anak saudara, Ahmad Affiq Zulkifli, 6, parah dan kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) di sini.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, kejadian berlaku ketika Siti Nur Ain dari arah Jalan Pelabuhan Utara menuju ke Flat Sri Perantau sebelum terbabit kemalangan.

Beliau berkata, ketika tiba di tempat kejadian, mangsa melanggar belakang sebuah motosikal dan terjatuh sebelum dilanggar sebuah kereta dari arah bertentangan.

"Mangsa mengalami kecederaan di kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

"Pembonceng yang juga anak saudara mangsa parah di kepala dan kini menerima rawatan di ICU, HTAR," katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Disiarkan pada: August 3, 2017 @ 5:44pm
d