mutakhir

Perlu RM150,000 untuk bina semula asrama

Oleh Nursyahirah Marzuki

PERTUBUHAN Kebajikan Baitul Barokah Wal Mahabbah (BBWM), Sepang memerlukan dana kira-kira

RM150,000 bagi pembinaan semula bangunan asrama lelaki yang musnah terbakar Sabtu lalu.

Pembantu Tadbirnya Jaafar Ismail berkata, pembinaan bangunan asrama itu perlu disegerakan memandangkan keperluan yang sangat mendesak untuk menempatkan semua pelajar lelaki di pusat berkenaan.

"Kami sudah menerima sedikit bantuan, tetapi jumlahnya masih jauh dari yang diperlukan. Pembinaan

ini perlu disegerakan kerana semua pelajar lelaki kini ditempatkan sementara di bangunan kelas.

"Kelas berkenaan tidak terlalu luas, namun mampu menampung semua pelajar lelaki di sini. Tetapi mereka tidak selesa kerana terpaksa mengemas kelas terbabit bagi sebelum memulakan sesi pembelajaran.

"Oleh itu, ketika ini kita sangat memerlukan bantuan dari segi wang tunai supaya pembinaan bangunan

asrama ini dapat dilaksanakan dengan segera bagi keselesaan pelajar," katanya ketika dihubungi Harian

Metro hari ini.

Dalam kejadian jam 4.42 pagi Sabtu lalu, dua blok asrama penginapan BBWM yang menempatkan 100 pelajar lelaki musnah dalam kebakaran, manakala, bangunan pejabat bersebelahan pula terbakar 30 peratus.

Ketika kejadian, semua pelajar sedang tidur dan kebakaran disedari oleh seorang warden asrama

yang kemudian mengejutkan mereka untuk menyelamatkan diri.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Khairuddin

Jamaludin dipetik berkata, tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan punca kebakaran serta jumlah

kerugian masih dalam siasatan.

Jaafar berkata, selepas kejadian itu pelbagai pihak termasuk orang awam sudah tampil memberi

bantuan keperluan kepada penghuni di pusat berkenaan namun masih terdapat beberapa keperluan yang

belum mencukupi.

"Alhamdulillah, sehingga kini kita banyak menerima sumbangan daripada orang ramai tetapi pakaian

solat (jubah) pelajar masih berkurangan selain barangan mandian dan mesin basuh," katanya.

Beliau berkata, mana-mana syarikat atau individu yang ingin menyumbang meringankan beban

terutama dalam pembinaan semula asrama berkenaan boleh disalurkan ke akaun 5628-3461-4558

(Maybank) atas nama Baitul Barokah Wal Mahabbah.

"Selain itu, orang ramai yang mahu menyumbangkan barangan keperluan lain boleh datang ke sini atau

menghubungi saya di talian 018-668 2732 atau pengetua BBWM Norlida Rasidi di talian 010-5307313.

"Barangan keperluan yang ingin disumbangkan juga boleh dikumpulkan kepada Kelab Jabatan

Perkhidmatan Awam (JPA) Aras 7, Blok C1, Kompleks C Putrajaya atau Kementerian Sumber Asli dan

Alam Sekitar (NRE) Aras 9, Wisma Sumber Asli Presint 4, Putrajaya," katanya.

Disiarkan pada: August 3, 2017 @ 10:17pm
d