mutakhir

Pemalu, tetapi gayanya menghiburkan [METROTV]

Oleh Mazizul Dani

BIARPUN belum pandai membaca dan menulis, Siti Nur Umairah Muhd Husin, 4, pandai menyanyi dengan gaya bersahaja dan mengikut tempo.

Aksi comelnya menyanyi lagu Aisyah daripada Projector Band sambil diiringi petikan gitar oleh abang sulungnya, Muhd Shafiq Muhd Husin, 21, menghiburkan netizen dan videonya tular di Facebook (FB).

Muhd Shafiq ketika dihubungi Harian Metro hari ini berkata, adik bongsu daripada tujuh beradik itu banyak menghafal lagu walaupun sebenarnya pemalu dan enggan menyanyi di hadapan orang.

"Itulah kelebihan dia, boleh faham tempo lagu. Kalau tak betul, saya ada juga tegur. Pernah sekali, dia tanya semula nak nyanyi macam mana lagi. Dia pula yang marah saya balik.

"Lagu Aisyah tu saya gunakan key asal, itu yang dia nyanyi jerit sedikit dan pecah. Dia baca pun tak pandai lagi, tak tahu macam mana dia hafal lirik. Tapi kalau pada usia dia ni, menyanyi macam itu pun bolehlah," katanya.

Aksi bersahaja Siti Nur Umairah menarik perhatian kerana menyanyi sambil memakai cermin mata dan menggunakan sikat yang digayakan seperti mikrofon serta kelihatan bersungguh-sungguh.

Video berdurasi 1 minit 12 saat itu sudah ditonton lebih 21,000 kali.

"Rakaman pada 13 Julai lalu itu dibuat secara spontan saja sebab dia sebenarnya pemalu. Kebetulan ketika saya main gitar dalam bilik dia masuk dan kata nak nyanyi.

"Siti Nur Umairah jarang nak menyanyi sebab kalau saya kata nak rekod dia akan lari, tapi masa tu dia okay saja, nak pakai cermin mata dan mikrofon padahal pakai sikat jer," katanya.

Muhd Shafiq yang belajar bermain gitar sejak 2013 berkata, dia pada awalnya memuat naik video berkenaan di Facebooknya sebelum rakan, Sukri Sulaiman meminta izin untuk berkongsi semula video itu di FB yang kemudiannya tular.

"Saya bangga jugalah sebab benda ini biasa saja, tak sangka video ini tular. Lagipun dia kecil lagi dan tak sangka juga sambutan daripada orang ramai meriah.

"Ada yang kata penat balik kerja hilang selepas tengok video tu. Sekarang ramai yang kenal, sebab kalau saya buat persembahan ‘busking’ di FB Live, orang akan tanya mana Umairah," katanya yang juga pemuzik sambilan.

Muhd Shafiq yang menetap di Dungun, Terengganu berkata, dia tidak mahu memberi pendedahan yang berlebihan kepada adiknya itu kerana masih terlalu kecil tetapi tidak keberatan untuk membawanya menyertai ujibakat sekiranya sudah besar kelak.

Disiarkan pada: August 3, 2017 @ 10:30pm
d