mutakhir

Siap sedia hadapi ancaman biologi

Nilai: Ancaman bahan kimia, biologi dan radiasi antara aspek turut diberi penekanan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) sebagai persediaan menghadapi temasya Sukan SEA ke-29 dan Sukan PARA ASEAN, tidak lama lagi.

Persediaan itu dilakukan Pasukan Pengurusan Bahan Berbahaya (HAZMAT) dan Pasukan Khas Kimia, Biologi, Radiologi, Nuklear serta Letupan Nuklear (CBRNe) membabitkan 600 pegawai serta anggota dari seluruh negara.

Ketua pasukan, M Murugiah berkata, mereka dibahagikan kepada lima kluster utama acara sukan berlangsung iaitu di Bukit Jalil, KLCC, Putrajaya, Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) serta lapangan individu seperti Velodrom Nasional Nilai.

Menurutnya, pasukan berkenaan terlatih dan mempunyai kelengkapan canggih berupaya menangani sebarang ancaman berkaitan bahan kimia berbahaya serta memastikan keselamatan pengunjung terjamin.

“Pasukan kami ditempatkan
di lima kluster berkenaan. Antara 30 ke 40 anggota dalam satu pasukan yang bertugas pada setiap masa dan mereka akan bersedia di balai bomba terdekat serta balai bomba bergerak bagi memastikan bantuan cepat tiba.

“JBPM juga menempatkan 99 jentera khusus sebagai persediaan menghadapi sebarang insiden termasuk kebakaran, menyelamat di air dan ancaman bahan kimia sepanjang temasya itu,” katanya selepas demonstrasi persediaan pasukan untuk Sukan SEA di Pusat Penyelidikan Kebakaran (PUSPEK), Bandar Enstek, di sini, semalam.

Hadir sama, Ketua Kajian dan Operasi Kebombaan Zainuddin Md Alip.

Murugiah berkata, pasukan mempunyai kerjasama erat dengan agensi antarabangsa yang mempunyai kepakaran dalam bidang berkenaan termasuk Pertubuhan Larangan Senjata Kimia (OPCW), Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA), Interpol dan Agensi Pengurangan Ancaman Pertahanan (DTRA).

Beliau berkata, pihaknya turut bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Kesihatan, Jabatan Kimia, Jabatan Alam Sekitar dan Lembaga Pelesenan Tenaga Atom Malaysia.

Tambahnya, JBPM juga sudah menjalankan pemeriksaan
di lapangan terbang, hotel, penginapan atlet, pusat media dan lokasi acara sejak dua bulan lalu yang berakhir kelmarin.

Disiarkan pada: August 4, 2017 @ 3:42am
d