mutakhir

Pegawai JAIS didakwa salah guna kuasa

Oleh Siraj Mohd Zaini

SEORANG pegawai dakwah di Pejabat Agama Islam Hulu Langat, Selangor, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam, hari ini, bagi tuduhan salah guna kuasa membabitkan wang tunai RM10,000 pada Februari tahun lalu.

Hairul Nizan Mhd Idris, 36, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di depan Hakim Rozilah Salleh.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa menggunakan jawatan untuk mengemukakan permohonan dan syor bagi pembekalan syarikat Prisma Jaya Kini Resources yang dimiliki abangnya untuk Majlis Tilawah Al-Quran peringkat daerah Hulu Langat berjumlah RM10,000.

Hairul didakwa melakukan perbuatan itu pada 1 Februari 2016 di Pejabat Agama Islam Daerah Hulu Langat.

Berikutan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 Akta yang sama yang boleh dipenjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima ganda jumlah suapan jika sabit kesalahan.

Hakim menetapkan tertuduh diikat jamin RM20,000 dan kes akan disebut semula pada 4 September depan.

Tertuduh diwakili peguam Hamidi Mohd Noh dan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM Heikal Ismail.

Disiarkan pada: August 4, 2017 @ 11:10am
d