mutakhir

FIC: Peguam, pembantu pula direman [METROTV]

Oleh Hayati Ibrahim

SEORANG peguam dan pembantu wanita direman lima hari bermula hari ini, bagi membantu siasatan pembelian sebuah hotel mewah di Kensington, London oleh Felda Investment Corporation (FIC).

Perintah reman sehingga 8 Ogos itu dikeluarkan Majistret Muhamad Safuan Azhar selepas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengemukakan permohonan itu di Mahkamah Majistret Putrajaya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 16 Akta SPRM 2009.

Kedua-dua suspek disyaki terbabit menguruskan proses dokumentasi perjanjian jual beli antara pemilik asal dan syarikat ketiga sebelum dijual kepada FIC.

Peguam berusia 44 tahun itu beroperasi di Kuala Lumpur manakala suspek wanita berusia 29 tahun adalah pembantu perundangan firma undang-undang itu. Mereka ditahan kira-kira jam 4 petang semalam, di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya.

Kedua-duanya tiba di mahkamah pada 9.15 pagi berpakaian lokap warna jingga dan bergari.

Selain itu, majistret turut memerintah reman bekas Ketua Pegawai Eksekutif FIC, Mohd Zaid Abdul Jalil, disambung empat hari lagi bermula esok, bagi membantu siasatan kes yang sama.

Terdahulu, di mahkamah sama, tiga pengarah sebuah syarikat yang direman masing-masing tujuh dan enam hari sebelum ini bagi membantu siasatan berhubung pembelian hotel oleh FIC di Kuching, Sarawak, pada 2014, dibebaskan.

Mereka dibebaskan dengan jaminan tunai RM20,000 setiap seorang dan jaminan mulut RM200,000 setiap seorang.

Disiarkan pada: August 4, 2017 @ 12:01pm
d