mutakhir

Tak pasal-pasal didakwa semula

Oleh Muhammad Apendy Issahak

MAHKAMAH Tinggi Ipoh, hari ini, mengarahkan dua warga emas didakwa semula atas pertuduhan mendera seekor anjing di Kampar pada November tahun lalu selepas mendapati hukuman dijatuhkan Mahkamah Majistret Kampar tidak mengikut pindaan akta terbaru.

Wong Then Yoong, 66, dan Aw Soon Fatt, 65, pada 29 November 2016 dijatuhi hukuman penjara sebulan dan denda RM200 selepas mengaku bersalah terhadap dakwaan mengikut Seksyen 44 (1) (d) Akta Binatang 1953 yang sabit kesalahan boleh didenda maksimum RM200 atau penjara tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya sekali.

Kedua-dua warga emas itu mengaku melakukan kesalahan dengan sengaja menyeret seekor anjing menggunakan rantai besi dengan menunggang motosikal dalam jarak 2.3 kilometer di Jalan Batu Sinar, Bandar Baru Kampar, Kampar pada 11 November 2016 jam 11 pagi hingga menyebabkan haiwan berkenaan mengalami kesakitan dan penderitaan yang tidak sepatutnya.

Wong dan Aw kemudian membuat rayuan di Mahkamah Tinggi Ipoh untuk mengurangkan hukuman penjara yang dikenakan kepada hanya membayar denda saja.

Kedua-duanya yang diwakili EP Sittan dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) merayu agar hanya dikenakan denda atasan alasan sudah tua dan uzur serta kesalahan dilakukan adalah kesalahan pertama mereka.

Pihak pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya, How May Ling pula mengatakan hukuman yang diterima kedua-dua tertuduh itu sebenarnya tidak mengikut pindaan hukuman yang baru yang sudah dipinda pada 2013 dengan peningkatan dalam hukuman iaitu denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak lebih setahun atau kedua-duanya sekali.

Pesuruhjaya Kehakiman, Anselm Charles Fernandis kemudian mengarahkan kedua-dua tertuduh didakwa semula di Mahkamah Majistret Kampar mengikut mengikut Seksyen 44 (1) (d) Akta Binatang (Pindaan) 2013 dengan sebutan semula kes pada Isnin ini.

Disiarkan pada: August 4, 2017 @ 4:06pm
d