mutakhir

World #QuranHour bid'ah hasanah

Oleh Muhammad Saufi Hassan

WORLD #QuranHour yang akan diadakan pada 31 Ogos ini dapat mendekatkan masyarakat di negara ini untuk berinteraksi dengan al-Quran, kata Timbalan Pengerusi Majlis Dakwah Negara (MDN) Prof Datuk Zakaria Stapa.

Beliau berkata, masyarakat Islam di negara ini dilihat semakin jauh dari al-Quran atas pelbagai faktor dan wujud keperluan untuk menyemai rasa cinta terhadap kitab suci itu sekali gus membantu menyelesaikan permasalahan sosial yang membelenggu remaja Islam.

“Perlu ada satu inisiatif yang baik untuk berinteraksi dengan al-Quran dan penganjuran World #QuranHour ini diharap dapat menyemai titik-titik kecintaan serta mendekatkan masyarakat kita dengan kitab suci berkenaan.

"Walaupun ada segelintir pihak yang mengatakan bahawa program ini bersifat bidaah yang tidak bersandarkan kepada Rasulullah, ingin saya tegaskan kepada individu atau tokoh agama ini supaya memahami skop bidaah dengan luas.

"Ketika zaman Nabi Muhammad SAW dahulu, memang tidak ada program seumpama ini kerana kehidupan waktu itu adalah Rasulullah serta sahabat sentiasa berinteraksi dengan al-Quran. Jadi, bagaimana pula dengan kita kini. Wujud keperluan untuk menganjurkan program seperti ini yang bermatlamat mendekatkan masyarakat dengan al-Quran," katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media sempena World #QuranHour di Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), hari ini.

Menurutnya, penganjuran program ini adalah bid’ah hasanah iaitu sesuatu yang baik dan bukannya bersifat sesat seperti yang didakwa pihak tertentu.

Disiarkan pada: August 4, 2017 @ 4:45pm
d