mutakhir

Pelajar dakwa dibalun dengan penyapu

Oleh Mary Victoria Dass

JABATAN Pendidikan Negeri Johor akan menjalankan siasatan terhadap seorang guru perempuan Pendidikan Moral yang didakwa memukul pelajar perempuan tingkatan satu dengan menggunakan penyapu di sebuah sekolah di Tampoi di sini, kelmarin.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar, Pendidikan dan Penerangan negeri, Datuk Ayub Rahmat berkata, pihaknya masih menjalankan siasatan terhadap pengaduan diterima.

“Guru berkenaan didapati tidak mengakui perbuatannya. Kami difahamkan ibu bapa pelajar berkenaan sudah membuat laporan polis.

“Sekiranya kes berkenaan adalah benar, guru terbabit boleh diambil tindakan tata tertib," katanya.

Keluarga pelajar berkenaan mendakwa tangan kiri mangsa mengalami lebam berpunca daripada perbuatan guru berkenaan.

Mereka turut membuat laporan polis di Balai Polis Skudai kelmarin.

Disiarkan pada: August 4, 2017 @ 7:11pm
d