mutakhir

Festival Citrawarna Siam meriah

Oleh Mohamad Zulhairie Manzaidi

Kira-kira 2,000 pengunjung yang terdiri daripada pelbagai kaum hadir memeriahkan Festival Citrawarna Siam di Wat Sukhorntharam, di Tumpat malam semalam.

Acara tahunan masyarakat Siam yang masuk tahun keempat dianjurkan oleh Persatuan Wanita Siam negeri Kelantan.

Dalam festival itu, pengunjung disajikan dengan pelbagai tarian kebudayaan siam.

Timbalan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, penganjuran kali ini agak meriah berbanding sebelumnya.

"Kehadiran cukup ramai dan acara ini adalah salah satu tarikan bagi pelancong untuk datang ke negeri ini.

"Kehadiran pelancong ini dapat menjana ekonomi masyarakat setempat," katanya ketika ditemui di Wat Sukhorntharam.

Hadir sama Ketua Polis Kelantan Datuk Hasanuddin Hassan, Pengarah Pelancongan Kelantan Mohd Aidil Afizie Daud dan Pengerusi Persatuan Wanita Siam Kelantan KC Ngiam.

Menurutnya, tahun ini kementeriannya menyasarkan seramai 30.8 juta pelancong ke negara ini.

"Sasaran tahun ini lebih 0.2 juta berbanding tahun lalu sebanyak 30.6 juta pelancong dengan pendapatan sebanyak RM118 bilion dalam sektor pelancongan," katanya.

Sementara itu, KC Ngiam berkata, seramai 120 penari masyarakat Siam di negeri ini menyertai acara itu.

"Selain itu, kita juga turut menjemput 46 penari dari Selatan Thailand seperti Tak Bai, Sungai Golok dan Narathiwat" katanya.

Disiarkan pada: August 5, 2017 @ 12:18am
d