mutakhir

Penuhi permintaan

Oleh Aizat Sharif

Alor Setar: Penganjuran pameran hartanah myrumah anjuran The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP) selari dengan aspirasi Kerajaan Negeri Kedah merealisasikan usaha Satu Keluarga, Satu Rumah.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah berkata, satu analisis pakar hartanah menunjukkan sektor perumahan di kawasan utara termasuk di Kedah kini semakin mendapat tempat di hati masyarakat sehingga pelbagai firma pemaju perumahan hartanah berlumba-lumba meneroka pembangunan hartanah.

“Perkembangan sektor perumahan dan hartanah di kawasan utara Semenanjung Malaysia terutama di Kedah dilihat bakal memberi perkembangan yang positif dalam pembangunan ekonomi di negara ini.

“Malah, kemakmuran negara dan negeri ini juga bakal menjadi penanda aras kepada keadaan ekonomi semasa dan disebabkan itu juga pemaju perumahan bukan saja pihak swasta, malah kerajaan bersungguh-sungguh membangunkan perumahan serta hartanah lain di negeri ini.

“Saya melihat penganjuran pameran ini juga dapat membantu kerajaan negeri dalam memenuhi permintaan rakyat dalam menyediakan perumahan di negeri ini dengan membawa ramai pemaju yang mempamer projek perumahan yang dilaksanakan di negeri ini kepada pengunjung,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan pameran hartanah myrumah 2017 (myrumah 2017) yang berlangsung sehingga esok di Aman Central Mall, di sini, semalam.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Bekalan Air, Sumber Air dan Tenaga negeri, Datuk Badrul Hisham Hashim dan Ketua Pegawai Eksekutif NSTP, Datuk Abdul Jalil Hamid.

Ahmad Bashah berkata, kerajaan negeri tidak mampu melakukan sendiri untuk menyediakan perumahan untuk rakyat dan kerjasama dengan kumpulan pemaju yang menjadi pemain utama industri amat diperlukan.

Dalam perkembangan berkaitan, Ahmad Bashah berkata, selain hartanah perumahan, kerajaan negeri rancak merangka pelbagai projek berimpak tinggi untuk menyokong pertumbuhan ekonomi di negeri itu.

Disiarkan pada: August 5, 2017 @ 3:17am
d