mutakhir

Impian Damia tercapai

Oleh Ahmad Rabiul Zulkifli

Kuala Nerus: “Saya sudah lama meminati selam skuba dan akhirnya hasrat untuk menyertai aktiviti ini tercapai apabila Universiti Malaysia Terengganu (UMT) menyediakan kursus selam skuba untuk golongan orang kurang upaya (OKU),” kata Nur Damia Irsalina Daeng Malis, 10.

Kanak-kanak istimewa itu antara kanak-kanak OKU yang menyertai Program Selam Skuba Golongan OKU UMT dan Diveheart Malaysia.

Damia atau lebih mesra dipanggil Kak Nik berkata, sebelum ini dia menyertai kelas renang selama setahun sebelum menyatakan minat kepada ibunya, Rosnaini Mohamad, 39, mengenai hasratnya untuk terbabit dalam aktiviti selam skuba.

“Hasrat saya menyertai aktiviti selam skuba itu agak sukar sebelum ini kerana ketiadaan kursus selam skuba dianjurkan untuk OKU di negara ini, tetapi apabila UMT bersama Diveheart Malaysia mengambil inisiatif menyediakan kursus itu, saya berpeluang merasai pengalaman menyelam.

“Banyak manfaat mengikuti kursus berenang selama setahun termasuk sebagai terapi untuk seluruh anggota badan bermasalah. Saya berasa yakin selam skuba boleh memberikan kesan yang lebih positif kepada diri,” kata murid Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Telemong, Kuala Berang itu.

Sebelum ini, kisah Nur Damia yang dilahirkan cacat kedua-dua kaki dan tangan gigih menimba ilmu pernah disiarkan Harian Metro pada 2 Januari lalu.

Walaupun terdapat kekurangan pada dirinya, kanak-kanak yang bercita-cita menjadi doktor itu mendapat perhatian orang ramai apabila mampu menulis dengan kaki.

Menurutnya, dia kini boleh berdikari seperti murid normal yang lain di sekolah dan berasa bertuah kerana semua rakannya memberikan sokongan dan bantuan kepadanya.

“Sebelum ini, ibu perlu menunggu saya di sekolah tetapi kini ibu tidak perlu menemani dan memantau saya di sekolah. Rakan dan guru juga banyak membantu.

“Mereka langsung tidak membezakan saya dan melayan saya seperti pelajar normal yang lain,” katanya.

Sementara itu, Rosnaini berharap anaknya membesar dengan lebih yakin dan bermotivasi tinggi seperti idolanya iaitu pakar motivasi terkenal dari Australia, Nick Vujicic.

Sementara itu, Naib Canselor UMT Prof Datuk Dr Nor Aieni Mokhtar berkata, program berkenaan bertujuan memberi peluang kepada OKU di negara ini mengikuti aktiviti terbabit.

“Kami teruja kerana UMT menjadi pelopor kepada program seumpamanya di negara ini melalui kerjasama Diveheart Malaysia,” katanya.

Disiarkan pada: August 5, 2017 @ 3:39am
d