mutakhir

[UPDATE Nelayan Hilang] Minta bantuan negara jiran

Oleh Rosli Ilham

POLIS Terengganu akan memaklumkan Wisma Putra bagi mendapatkan bantuan negara jiran dalam usaha mengesan tiga lagi nelayan yang hilang selepas bot dinaiki mereka ke Kuala Dungun terbalik dipukul ombak pada Rabu lalu.

Ketua Polis Terengganu Datuk Aidi Ismail berkata, pihaknya akan meminta bantuan pasukan keselamatan negara jiran untuk mengesan mangsa yang hilang sekiranya usaha mengesan mangsa tidak berhasil.

Katanya, pihaknya bersama beberapa agensi penyelamat lain masih meneruskan operasi yang memasuki hari ketiga dan sehingga kini, seorang mangsa, Mohd Nazri Yaccob,37, berjaya ditemui pagi semalam.

"Operasi tidak hanya tertumpu di sini dan kita turut meminta bantuan dari daerah dan negeri lain terutamanya negara jiran seperti Thailand, Vietnam dan Indonesia," katanya.

Aidi berkata, pihak berkuasa negara jiran termasuk nelayan mereka turut diminta memaklumkan segera kepada pihaknya sekiranya menemui objek yang terapung untuk proses pengecaman.

"Daripada segi tempoh operasi, jika keadaan ini berterusan kita mungkin terpaksa kurangkan petugas atau aset.

"Ketika ini, operasi mencari dan menyelamat menggunakan kemudahan lima bot super tunda dan helikopter dengan kawasan pencarian unit udara meliputi Kuala Dungun sehingga Paka.

"Selain itu, jarak pencarian juga diperluaskan sehingga 10 kilometer dan kekuatan anggota daripada pelbagai agensi kini meningkat kepada 112 petugas," katanya.

Dalam kejadian jam 10 malam pada Rabu lalu, empat nelayan, Mohd Zawawi Mohamed, 27; Che Mohd Afendi Ismail, 34; Mohd Nazri Yaccob, 37, dan Abd Wahab Zakaria, 40, hilang selepas bot dinaiki mereka ke Kuala Dungun terbalik dipukul ombak.

Seorang lagi nelayan yang juga adik Mohd Nazri, Mohd Shazrin, 33, dapat menyelamatkan diri dengan berenang ke pesisir pantai hampir tiga jam, manakala mayat Mohd Nazri ditemui terapung pada jam 8.50 pagi semalam.

Disiarkan pada: August 5, 2017 @ 6:42pm
d