mutakhir

Empat kes sejuta orang

Oleh Nur Lela Zulkipli

Kuala Lumpur: Hanya 10 peratus penghidap Akromegali iaitu masalah hormon kronik berjaya dikesan di seluruh negara berikutan kurang kesedaran selain sikap suka menangguh bagi mendapatkan rawatan di peringkat awal.

Akromegali adalah masalah hormon yang jarang berlaku dan hanya empat kes bagi setiap sejuta orang. Ia berlaku apabila kelenjar pituitari mengeluarkan hormon pertumbuhan dalam jumlah berlebihan.

Pengarah Bahagian Perkembangan Perubatan, Kementerian Kesihatan, Datuk Dr Azman Abu Bakar berkata, sehingga 2016 hanya 100 pesakit Akromegali yang mendapatkan rawatan di hospital kerajaan sedangkan dianggarkan terdapat 1,200 penghidap penyakit berkenaan di Malaysia.

“Selepas kementerian dan pakar melakukan pemantauan di seluruh negara, kita dapati masih ramai penghidap penyakit ini belum tampil bagi mendapatkan rawatan sehinggalah penyakit itu menyebabkan kegagalan fungsi organ lain.

“Ada juga kes yang mana pesakit gagal menerima hakikat bahawa mereka memerlukan rawatan segera seperti pembedahan kerana belum merasai kesakitan.

“Ini semua hanya akan melambatkan proses penyembuhan dan mengakibatkan lebih banyak penyakit sampingan timbul,” katanya pada perasmian Seminar Persatuan Akromegali Malaysia (MyAcro) Kebangsaan di Hospital Kuala Lumpur (HKL), di sini, semalam.

Seminar berkenaan turut dihadiri Ketua Unit Endrokonologi Hospital Putrajaya Dr Zanariah Hussien, Timbalan Pengarah Kanan HKL Dr Nur Akma Mohd Yusof dan pakar bedah Neurosurgeri Dr Azmi Alias.

Disiarkan pada: August 6, 2017 @ 5:09am
d