mutakhir

Rayu bawa ibu uzur

Oleh Ardyhansah Amat

Petaling Jaya: Sikap sepasang suami isteri wajar dipuji apabila berusaha membuat rayuan kepada Lembaga Tabung Haji (TH) bagi membolehkan mereka membawa ibu uzur bagi menunaikan haji bersama, tahun ini.

Zainon Maidin, 50, berkata, dia dan isteri mendaftar di TH sekitar 2004.

“Ketika itu, memang saya berniat bawa ibu mentua (Mariyam Mat, 69) bersama untuk menunaikan haji.

“Apatah lagi, kesihatan ibu mentua kurang baik apabila disahkan menghidap darah tinggi dan kencing manis,” katanya, di sini, malam kelmarin.

Bagaimanapun, ujian bermula apabila hanya Zainon dan isterinya Suzana Zakaria, 45, menerima surat tawaran mengerjakan haji tahun ini.

Justeru, Zainon yang menetap di Rawang, Selangor, nekad membuat rayuan kepada TH bagi membolehkan ibu mentuanya menyertai mereka ke Tanah Suci.

Bagi Suzana, impian mereka membawa melihat ibunya menunaikan haji tahun ini tercapai apabila rayuan itu diterima TH.

“Beberapa persiapan dilakukan saat akhir termasuk membeli kerusi roda bagi memudahkan pergerakan ibu di sana.

“Malah, kami turut mendapatkan ubat ibu di hospital sebagai bekalan sepanjang berada di sana nanti,” katanya.

Selain itu, Suzana berkata, suaminya turut menjemput seorang ustaz bagi menjalankan sesi kursus haji secara persendirian di rumah.

“Agak sukar membawa ibu menjalani kursus haji di TH, memandangkan kesihatan ibu tidak mengizinkan.

“Justeru, kaedah ini langkah terbaik bagi ibu. Malah kursus turut dilakukan ustaz bertauliah dan berpengalaman membawa jemaah menunaikan haji dan umrah,” katanya.

Disiarkan pada: August 6, 2017 @ 5:43am
d