mutakhir

'Cuaca gelap tak nampak apa-apa'

Oleh Rosli Ilham

Dungun: “Saya ada mendengar mereka menjerit meminta tolong dan tidak menyangka mereka lemas,” kata Nordin Abdullah, 62, seorang tekong bot yang terkilan kerana gagal menyelamatkan empat nelayan yang hilang di muara Kuala Dungun, Rabu lalu.

Menurut Nordin, dia bersama tiga awak-awak ada melihat ke belakang sebaik mendengar jeritan meminta pertolongan untuk melihat apa yang berlaku.

“Ketika itu cuaca sangat gelap dan kami tak nampak apa-apa sebelum saya kembali mengemudi bot keluar ke laut.

“Saya balik semalam (kelmarin) dan barulah saya sedar kejadian yang berlaku.

“Saya memang terkilan dan sedih kerana gagal menyelamatkan mangsa. Kalau saya tahu kejadian ini berlaku, saya akan berpatah balik atau memaklumkan kejadian itu kepada rakan yang lain,” katanya.

Nordin berkata, sebelum kejadian itu, dia ada terserempak dengan bot dinaiki semua mangsa ketika keluar dari muara Kuala Dungun.

“Saya terkejut ketika terserempak dengan bot dinaiki semua mangsa yang berani mengharungi ombak yang kuat.

“Ketika itu, saya bersama tiga awak-awak bertarung keluar ke laut manakala bot mereka bertarung untuk masuk ke muara,” katanya.

Disiarkan pada: August 6, 2017 @ 5:56am
d