mutakhir

Pondok tahfiz terbakar

Oleh Safuri Kamarudin

PONDOK Tahfiz Al-Taqwa di Kampung Tengah, Teluk Teduri, Baling terbakar, 1.40 pagi hari ini.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia Kedah, Mohamad Mustakim Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan pada 2.04 pagi dan sampai ke tempat kejadian 10 minit kemudian.

Beliau berkata, 11 anggota diketuai Pegawai Kanan Bomba II, Jusuh Abdul Wahab dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Baling sebaik tiba didapati api sedang marak di tingkat atas pondok tahfiz kelas A berkenaan.

Katanya, anggota dan pegawai dari BBP Pengkalan Hulu turut membantu operasi memadam kebakaran.

Beliau berkata, api dapat dikawal dan operasi tamat pada 3.52 pagi dengan keseluruhan 50 peratus bangunan atas terbakar.

"Bomba menggunakan dua pancutan dan satu aliran untuk memadam kebakaran itu.

"Anggota mengambil masa 15 minit untuk mengawal api daripada merebak dan tidak ada kemalangan dilaporkan,"katanya dalam kenyataan media hari ini.

Mohamad Mustakim berkata, punca kebakaran dan jumlah kerugian masih disiasat.

Disiarkan pada: August 6, 2017 @ 10:51am
d