mutakhir

Mujur ada 'Lipan Bara'

Oleh Nasharuddin Muhammad

BERPAKAIAN serba merah iaitu baju-T, topi dan beg sandang selain berbadan tegap tetapi mesra.

Kelibat mereka sentiasa dilihat di sekitar Masjidilharam terutama berhampiran pintu keluar masuk selain kawasan yang sering menjadi laluan jemaah haji berulang-alik ke maktab penginapan.

Itulah anggota Unit Peronda Lembaga Tabung Haji (TH) atau dikenali sebagai 'Lipan Bara' yang bertanggungjawab membantu jemaah yang tersasar daripada rakan jemaah lain atau tidak dapat mencari jalan pulang ke maktab.

Ketua Unit Peronda 1438 Hijrah Deputi Superintendan Wan Shamshol Husin berkata, pasukannya terdiri daripada 17 anggota bertanggungjawab memastikan keselamatan semua jemaah yang berulang-alik ke Masjidilharam.

"Anggota peronda ditempatkan di lapan stesen di sekitar Masjidilharam dan kami mudah dilihat oleh jemaah dengan pemakaian baju-T dan topi merah," katanya pada sidang media di ibu pejabat TH Makkah di Abraj Al-Janadriyah.

Beliau berkata, majoriti anggota pasukannya adalah anggota Polis Bantuan TH, Polis Diraja Malaysia (tiga) serta seorang anggota Kor Agama Angkatan Tentera Malaysia (KAGAT).

"Antara cabaran yang kita hadapi adalah terdapat ramai jemaah kita yang sudah berusia serta dalam keadaan kesihatan yang tidak mengizinkan.

"Tugas kita untuk memastikan mereka sentiasa berada dalam keadaan selamat untuk beribadat," katanya.

Beliau berkata, pasukannya akan bertugas 24 jam tujuh hari seminggu yang dibahagikan kepada tiga syif iaitu 7 pagi hingga 2 petang, 2 petang hingga 10 malam dan 10 malam hingga 7 pagi esoknya.

Pada musim haji tahun ini, 30,200 jemaah terpilih untuk menunaikan Rukun Islam kelima itu.

Koperal Zahisan Zahari, 43 berkata, dia sudah bersedia memikul tanggungjawab sebaik menerima tawaran daripada TH untuk berkhidmat di Tanah Suci.

"Saya bersama pasukan akan memberikan tumpuan kepada jemaah dan biasanya apabila mereka bertemu kami, yang ditanya adalah di mana maktab penginapan mereka.

"Kami juga mengenali mereka melalui tali penyandang Lencana Pengenalan Diri (LPH) yang dipakai," kata anggota cawangan trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Serdang itu.

Menurutnya, kebanyakan jemaah yang tersasar itu adalah mereka yang kali pertama datang ke Tanah Suci.

"Apabila berpecah, ada dalam kalangan jemaah tersasar dari kumpulan dan waktu itulah mereka tidak tahu mencari jalan pulang ke maktab penginapan," katanya.

Sarjan Hasnol Abu Hassan, 49 yang juga anggota Polis Bantuan TH berkata, dia akan memastikan anggota peronda mengikut jadual tugasan ditetapkan.

"Saya turut meronda dan pada masa sama mengatur jadual rondaan.Kita memberi tumpuan terhadap keselamatan jemaah yang berulang-alik ke Masjidilharam supaya dapat pulang semula ke maktab penginapan dengan selamat," katanya.

Disiarkan pada: August 6, 2017 @ 5:53pm
d