mutakhir

Terjun Menara KL bawa obor [METROTV]

Oleh Mazizul Dani

KETUA Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan menyahut cabaran pada saat-saat akhir untuk melakukan terjunan dari Menara Kuala Lumpur sempena Larian Obor Sukan SEA 2017.

Datuk Lokman Hakim Ali berkata, dia tidak teragak-agak untuk bersetuju melaksanakan gimik itu walaupun tidak mempunyai perancangan awal.

"Saya rasa sangat bangga dapat meraikan Larian Obor terutamanya melakukan gimik 'basejump' ini. Gimik ini adalah satu impian yang terlalu istimewa untuk dikongsikan kepada semua.

"Saya pun terkejut juga sebab saya tidak mempunyai perancangan awal tetapi apabila dicadangkan untuk lakukannya saya terus bersetuju. Kita tidak tahu kemampuan kita jika tidak mencuba, jadi itu yang saya tampilkan dalam diri saya sendiri," katanya kepada Harian Metro, hari ini.

Lokman Hakim melakukan terjunan 'tandem' iaitu bersama penerjun profesional sambil membawa obor Sukan SEA 2017 pada ketinggian 300 meter.

Beliau sebelum itu menerima obor berkenaan yang dibawa ke pelantar terbuka melalui tangga yang dimulakan Ketua Pegawai Eksekutif Menara KL, Meor Shahril Anuar Ahmad Rathuan pada 11.30 pagi.

Pendaratannya disambut Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin, sebelum meneruskan larian bersama lebih 50 peserta menuju ke perkarangan Menara KL.

Beliau kemudian menyerahkan obor berkenaan kepada wakil Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Ibrahim Yusoff yang juga Pengarah Eksekutif (Pembangunan Sosio-Ekonomi) Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Lokman Hakim pada masa sama mahu rakyat Malaysia bersama-sama memberi sokongan kepada temasya yang akan bermula secara rasmi pada 19 Ogos nanti.

"Kepada semua rakyat Malaysia, sila keluar dan beri sokongan kepada semua atlet Malaysia yang bertanding dalam KL2017 supaya kita sebagai sebuah negara menjayakan dan Bangkit Bersama 2017," katanya.

KL2017 berlangsung sehingga 30 Ogos manakala Sukan Para ASEAN pula akan diadakan dari 17 hingga 23 September 2017.

Disiarkan pada: August 6, 2017 @ 7:25pm
d