mutakhir

Nelayan perlu ada insurans

Oleh Ahmad Rabiul Zulkifli

GOLONGAN nelayan digesa mengambil perlindungan insurans bagi memastikan kebajikan keluarga terjamin jika berlaku kejadian tidak diingini ketika mereka menangkap ikan di laut.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, beliau terkilan apabila mendapati tidak semua nelayan di negara ini dilindungi insurans.

"Tragedi bot karam membabitkan lima nelayan di Kuala Dungun, Rabu lalu, menyedihkan apabila hanya seorang daripada lima nelayan terbabit dilindungi insurans.

“Empat daripada mereka juga bukan penerima Insentif Bantuan Bulanan Nelayan sebanyak RM300. Justeru, mereka tidak lindungi insurans melalui skim itu.

"Sekiranya mereka tersenarai antara 58,000 nelayan yang menerimanya, pasti mereka mencarum RM100 setahun dan boleh membuat tuntutan sehingga RM150,000 seorang," katanya selepas merasmikan Sambutan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan kali ke-42 di Taman Tamadun Islam (TTI), di Kuala Terengganu, hari ini.

Ahmad Shabery berkata, pihaknya akan meneliti kaedah yang boleh diambil melalui pelbagai pihak termasuk Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) bagi memastikan semua nelayan di negara ini mencarum, seterusnya dilindungi insuran tertentu yang boleh memberi manfaat jika ditimpa musibah.

“Sekurang-kurangnya nasib keluarga terbela jika mereka sebagai ketua keluarga ditimpa musibah di laut," katanya.

Disiarkan pada: August 6, 2017 @ 8:39pm
d