mutakhir

'Peniaga tak kenang budi'

Oleh Asrizal Aris

DEWAN Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan mengkaji semula tempoh penggunaan lesen sementara perniagaan yang dikeluarkan kepada peniaga tempatan bagi mengelak ia disalah guna.

Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Mhd Amin Nordin Abd Aziz berkata, ramai peniaga tempatan menyalahgunakan lesen dengan menyewakannya kepada warga asing sehingga ada yang menjadikan warga asing sebagai rakan kongsi untuk untung mudah.

“Tempoh setahun diberi kepada setiap peniaga yang memohon lesen. Tempoh berkenaan bertujuan memantau pematuhan syarat dan undang-undang yang ditetapkan kepada mereka.

“Bagaimanapun, kami dapati selepas mendapat lesen, mereka menyewakannya kepada warga asing malah tidak kurang juga menjadikan warga asing sebagai rakan kongsi.

“Tindakan ini bertentangan dengan undang-undang iaitu DBKL menetapkan 23 jenis perniagaan yang tidak boleh dikendalikan warga asing di ibu kota,” katanya pada sidang media selepas Operasi Bersepadu DBKL, Jabatan Imigresen Malaysia JIM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM), semalam.

Disiarkan pada: August 6, 2017 @ 11:14pm
d