mutakhir

Ditahan pecah masuk kedai makan

Oleh Rosliza Mohamed

Kota Bharu: Dua lelaki termasuk seorang remaja ditahan selepas memecah masuk kedai makan dan melarikan pelbagai barangan keperluan dapur bernilai kira-kira RM2,000 di Wakaf Che Yeh di sini, kelmarin.

Suspek berusia 15 tahun dan 29 tahun itu ditahan jam 9 malam di sekitar kawasan berkenaan.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu Asisten Komisioner Ismail Mat Sidik berkata, sebelum itu, peniaga terbabit yang berusia 41 tahun dimaklumkan pekerjanya pada jam 6 petang bahawa kedai berkenaan dipecah masuk.

“Peniaga itu memeriksa kedai dan mendapati barang seperti gula, nescafe, roti dan mi segera hilang.

“Suspek memecah masuk kedai itu menerusi pintu tepi premis, Khamis lalu.

“Pada keesokannya, suspek dapat ditahan oleh peniaga kedai terbabit sebelum menyerahnya kepada polis,” katanya.

Menurut Ismail, suspek direman selama empat hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 447 Kanun Keseksaan.

“Seorang daripada suspek positif dadah hasil ujian air kencing dijalankan,” katanya.

Disiarkan pada: August 7, 2017 @ 8:17am
d