mutakhir

Sindir 'makan dalam'

Oleh Mohamad Zulhairie Manzaidi

Tumpat : Selepas nasihat secara baik dengan bahasa sopan tidak diendah, Majlis Daerah Tumpat (MDT) menaikkan sepanduk memaparkan ayat sindiran sebagai teguran kepada penduduk yang gemar membuang sampah merata tempat.

Menggunakan loghat Kelantan, sepanduk begitu diharap dapat menyedarkan penduduk supaya menggunakan tong sampah dengan sebaik mungkin.

Antara yang banyak ditampal adalah sepanduk ‘bakpo gak (kenapa) payoh (susah) sangat nok tohok (nak buang) sampah dale (dalam) tong?’.

Yang Dipertua MDT Rosnazli Amin berkata, pihaknya terpaksa melakukan demikian selepas pendekatan formal dan nasihat tidak diendahkan penduduk.

“Sindiran begitu juga bukan untuk menyelar penduduk atau merendah-rendahkan mereka, sebaliknya untuk mereka berfikir.

“Kita mahu mereka ada rasa tanggungjawab terutamanya dalam menjaga kebersihan di luar rumah sampah.

“Tong sudah banyak tetapi sampah masih diletakkan di luar. Jadi dengan sepanduk itu, ia membolehkan masyarakat menilai sendiri perangai mereka,” katanya.

Beliau berkata, sudah banyak sepanduk peringatan dipasang di kawasan tong sampah di sekitar daerah itu seperti di Kampung Morak dan kawasan tumpuan seperti Pantai Geting dan Tujoh serta sekitarnya.

Alhamdulillah, selepas sepanduk itu dipasang dua bulan lalu, sudah ada perubahan dan penduduk lebih peka untuk membuang sampah dengan betul,” katanya.

Sementara itu, penduduk, Mohd Redzuan Idris, 31, berkata, kata-kata pada sepanduk sedikit sebanyak memberi kesedaran kepada penduduk.

“Saya lihat tindakan diambil pihak berkuasa tempatan (PBT) berhasil dan kawasan pembuangan sampah juga lebih bersih berbanding sebelum ini,” katanya.

Disiarkan pada: August 7, 2017 @ 9:35am
d