mutakhir

Bengkel francais PUSPAKOM

Oleh myMetro

Jerantut: Kementerian Pengangkutan dengan kerjasama Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM) Sdn Bhd akan melaksanakan sistem francais bagi memudahkan orang ramai yang tinggal berjauhan dari pusat berkenaan melakukan rutin pemeriksaan kenderaan.

Timbalan Menterinya Datuk Ab Aziz Kaprawi berkata, pihaknya sudah melakukan perbincangan bersama PUSPAKOM untuk melaksanakan sistem berkenaan.

“Menerusi sistem ini, kita akan melantik syarikat pemeriksaan kenderaan atau bengkel untuk dijadikan cawangan kecil khusus di kawasan yang tiada PUSPAKOM.

“Bagaimanapun, proses pelaksanaan sistem ini pastinya akan mengambil sedikit masa kerana kita perlu mengenal pasti syarikat pemeriksaan yang berkelayakan untuk melakukan pemeriksaan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perasmian Penutup Program Satu Komuniti Satu (SKSJ) Jabatan Pengangkutan Jalan Raya (JPJ) di Dewan Pusat Latihan Teknologi Tinggi (ADTEC) di sini, kelmarin.

Hadir sama wakil Ketua Pengarah Pengangkutan Jalan Malaysia Datuk Kamaruddin Mohd Sa’ad, Ahli Parlimen Jerantut Datuk Ahmad Nazlan Idris, Pengarah JPJ negeri Datuk Mark Ujin serta pegawai Pejabat Tanah dan Daerah Jerantut Tengku Nor Asmaliza Ku Lah.

Menurutnya, 469 peserta program SKSJ daerah ini menerima lesen memandu percubaan motosikal Kelas B2.

“Program inisiatif kerajaan ini memberi peluang kepada peserta berusia 45 tahun ke atas untuk memiliki lesen pada kadar murah,” katanya.

Disiarkan pada: August 7, 2017 @ 9:49am
d