mutakhir

Tunggu arahan Timbalan Pendakwa Raya

Oleh Ibrahim Isa

POLIS menahan suami isteri berusia 33 dan 21 tahun malam tadi, bagi membantu siasatan kes pengabaian tiga anak mereka di bilik sewa di Larkin Perdana, Khamis lalu, sebelum dibebaskan beberapa jam kemudian.

Ketua Polis Johor, Datuk Seri Wan Ahmad Najmuddin Mohd berkata, pasangan berkenaan ditahan di bilik sewa mereka di Larkin Perdana pada jam 10 malam.

"Kami menjalankan siasatan mengikut Seksyen 33 Akta Kanak-Kanak 2001 dan mengambil kira pelbagai sudut.

"Ini termasuk laporan polis yang dibuat pasangan berkenaan berkaitan kes itu pada 4 Ogos lalu.

"Siasatan masih dijalankan dan pasangan berkenaan dibebaskan dengan jaminan polis selepas mengambil kira mereka mempunyai bayi berusia lapan bulan," katanya pada sidang media sempena lawatan kerja rasmi di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan (JBS), hari ini.

Hadir sama, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Johor, Senior Asisten Komisioner Azman Ayob dan Ketua Polis Daerah JBS, Asisten Komisioner Shahurinain Jais.

Wan Ahmad Najmuddin berkata, pihaknya akan melengkapkan kertas siasatan sebelum merujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan susulan.

Disiarkan pada: August 7, 2017 @ 12:18pm
d