mutakhir

Elwin raih tempat ketiga

Oleh Rizanizam Abdul Hamid

PELAJAR Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Bintang Utara, Kuala Lumpur, Elwin Raj, 17, mendapat tempat ketiga pertandingan ‘International Brain Bee Championship' (IBBC) 2017 yang berakhir di Washington DC, Amerika Syarikat, semalam.

Johan Pertandingan Neurosains Peringkat Kebangsaan, 'Malaysia Brain Bee Challenge' (MBBC) 2017, Julai lalu itu adalah wakil tunggal negara menyertai 24 johan negara masing-masing pada acara kejohanan selama lima hari bermula 2 hingga 6 Ogos.

Elwin yang masih berada di Washington ketika dihubungi Harian Metro berkata, dia tidak menyangka diumumkan pada tempat ketiga kerana hanya diumumkan sebagai senarai lima teratas pada pertengahan pertandingan.

"Sejujurnya, saya tidak meletakkan sebarang sasaran tempat sebaliknya hanya bermotivasi untuk meletakkan Malaysia sebagai salah sebuah negara yang juga maju dari segi bidang neurosains.

"Saya juga berhasrat untuk belajar daripada peserta lain dan menimba ilmu pengetahuan yang baru selain meneroka peluang kerjaya bidang ini pada masa hadapan.

"Cabaran daripada peserta lain juga amat hebat kerana mereka adalah juara di negara masing-masing," katanya ketika dihubungi hari ini.

Kemenangan tempat ketiga itu melayakkan Elwin membawa pulang wang tunai AS$1,000 (RM4,281), peluang latihan industri dalam bidang neurosains di University of Maryland, Baltimore, piala, pingat dan sijil.

Tempat pertama dan kedua masing-masing menjadi milik Sojas Wagle, 15, dari Arkansas, AS dan Milena Malcharek dari Poland.

Mengulas lanjut anak bongsu daripada tiga beradik itu berkata, dia amat berterima kasih kepada Tuhan dan kedua ibu bapa, K Kunavathi, 57 dan Paul Raj, 65, yang bertungkus lumus memberi galakkan menyertai IBBC dan MBBC.

"Terima kasih tidak terhingga kepada Pengarah Pusat Perkhidmatan dan Penyelidikan Neurosains Universiti Sains Malaysia (USM) Prof Datuk Dr Jafri Malin Abdullah dan Pensyarah Perubatan USM merangkap ketua projek MBBC 2017 Prof Madya Dr Muzaimi Mustapha.

"Jutaan penghargaan juga buat mentor saya bagi persediaan pertandingan ini, semua guru-guru sekolah, rakan-rakan, pihak persatian ibu bapa dan guru (PIBG), serta ahli keluarga serta semua yang mendoakan kejayaan saya," katanya.

IBBC 2017 anjuran Persatuan Psikologi Amerika (APA) bertujuan memberi motivasi kepada pelajar berumur 13 hingga 19 tahun untuk mengkaji otak dan memberi inspirasi kerjaya dalam neurosains asas dan klinikal.

Pelajar diuji berdasarkan pengetahuan mereka mengenai otak manusia dengan topik termasuk kecerdasan, emosi, memori, tidur, penglihatan, pendengaran, penyakit Alzheimer, penyakit Parkinson, skizofrenia, ketagihan dan penyelidikan otak.

Pertandingan membabitkan ujian lisan, ujian makmal neuroanatomy dengan otak manusia yang sebenar, ujian neurohistologi, dan komponen diagnosis pesakit.

PIX Ihsan Elwin

Disiarkan pada: August 7, 2017 @ 3:18pm
d