mutakhir

JKM perlu sebulan lengkapkan siasatan

Oleh Mohd Husni Mohd Noor

JABATAN Kebajikan Masyarakat (JKM) memerlukan masa 30 hari bagi melengkapkan siasatan kes tiga beradik berusia setahun hingga enam tahun yang ditularkan sebagai mangsa pengabaian ibu bapa di Larkin, Johor Bahru, Johor, Khamis lalu.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata, tiga kanak-kanak itu kini ditempatkan di Pusat Perlindungan Kanak-Kanak Johor Bahru sementara menunggu siasatan.

Beliau berkata, sepanjang tempoh itu, pihaknya akan menyiasat dan melihat beberapa aspek termasuk kesesuaian kanak-kanak berkenaan, terutama dari segi keselamatan dan kewangan sebelum diserahkan kepada keluarga.

“Jika didapati ada asas dan wujud pengabaian, kami akan berbincang dengan polis untuk tindakan seterusnya," katanya di Putrajaya, hari ini.

Menurutnya, jika kanak-kanak itu didapati tidak selamat dalam jagaan ibu bapa mereka, JKM akan terus menjaga mereka.

Rohani berkata, ibu bapa kanak-kanak berkenaan masih boleh bertemu anak-anak mereka dengan kebenaran JKM.

Tiga kanak-kanak berkenaan diselamatkan JKM pada 3 Ogos lalu, selepas didapati ditinggalkan tanpa pengawasan orang dewasa di sebuah bilik sewa selain tanpa makanan mencukupi.

Difahamkan, kanak-kanak itu didapati kekurangan makanan, pakaian dan penjagaan sebelum mereka diselamatkan mengikut Akta Kanak-Kanak 2001.

Bagaimanapun, bapa kanak-kanak berkenaan menafikan mengabaikan anak mereka di bilik sewa di Larkin Perdana, Johor Bahru.

Semalam, ibu bapa kanak-kanak berkenaan tampil menafikan dakwaan mengabaikan anak mereka sebaliknya meninggalkan anak-anaknya kepada jiran yang sudah dianggap sebagai kakak ketika mereka berkursus untuk kerja di sebuah kilang.

Disiarkan pada: August 7, 2017 @ 3:26pm
d