mutakhir

Berita pilu awal pagi

Oleh Siti Nor Hidayatidayu Razali

Pasir Mas: Tiada kata-kata yang dapat diluahkan seorang ibu apabila menerima berita anaknya tenat selepas terbabit kemalangan, melainkan hanya tangisan.

Che Rohani Mohd Fathil, 58, berkata, dia segera ke Hospital Pasir Mas (HPM), di sini, sebaik dimaklumkan anaknya, Mohd Khairul Anam Mohd Shargawi, 26, berada di Jabatan Kecemasan dan Trauma hospital itu, pada jam 5.30, pagi semalam.

Anak kesembilan daripada 12 beradik itu bagaimanapun, meninggal dunia ketika dalam rawatan disebabkan kecederaan serius.

Dia sebelum itu kemalangan di Kilometer 12 Jalan Pasir Mas-Rantau Panjang dekat Kampung Batu Karang, Rantau Panjang di sini, selepas Proton Waja dipandu hilang kawalan dan melanggar tiang elektrik yang kemudian menghempap kenderaan terbabit, pada jam 5.15 pagi.

Turut maut dalam kemalangan itu tiga warga Myanmar yang menjadi penumpang tempat duduk belakang berusia 20 hingga 30 tahun. Seorang lagi warga Myanmar, 33, parah dan dirawat di HPM.

Che Rohani yang tinggal di Kampung Chenerai, Siram memberitahu, anaknya hanya bekerja kampung dan rajin melakukan apa saja pekerjaan untuk menyara dirinya dan keluarga.

Katanya, arwah yang belum berkahwin bekerja tidak menentu, malah turut mengambil upah membawa barangan termasuk beras untuk dihantar kepada peniaga.

“Saya tahu apabila dia perlu keluar, dia ada kerja membawa beras. Masa tidak menentu kerana ada keluar pada waktu pagi, tengah hari atau pun malam.

“Sebelum terbabit kemalangan, dia cuma beritahu mahu keluar bekerja dan saya tidak bertanya lebih lanjut.

“Selepas itu, (anak) Mohd Khairul Wafiy, 26, yang juga kembar arwah memberitahu arwah kemalangan,” katanya di HPM di sini, semalam.

Menurutnya, Mohd Khairul Wafiy ke lokasi kejadian untuk melihat adiknya, manakala dia dan suami, Mohd Shargawi Abdullah, 71, bergegas ke hospital.

Katanya, dia masih terkejut dengan kejadian itu namun reda dan jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Chenerai, Rantau Panjang.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Ibrahim Saad berkata, kemalangan berlaku selepas kereta Proton Waja yang dipandu mangsa dari Pasir Mas ke Rantau Panjang hilang kawalan lalu terbabas di bahu jalan sebelah kiri.

“Akibatnya, kereta melanggar tiang elektrik dan tiang berkenaan jatuh menghempap kenderaan itu. Tiga warga Myanmar maut di lokasi dan pemandu yang juga warga tempatan meninggal dunia ketika dirawat di hospital.

“Seorang lagi warga Myanmar parah dan dirawat di hospital sama. Kes ini disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Disiarkan pada: August 8, 2017 @ 6:31am
d