mutakhir

Gajah ditembak dalam ladang

Kinabatangan: Seekor gajah Pygmy betina ditemui mati dengan beberapa kesan tembakan di sebuah ladang kelapa sawit berhampiran Hutan Simpan Malua, Kinabatangan, kelmarin.

Terdahulu, gajah itu ditemui masih hidup oleh sekumpulan pekerja ladang jam 7 pagi sebelum melaporkannya kepada pihak berkuasa, namun disahkan mati tidak lama kemudian.

Pengarah Jabatan Hidupan Liar Sabah Augustine Tuuga berkata, pegawainya bersama doktor haiwan kemudian ke lokasi untuk menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca sebenar kematian haiwan berkenaan.

“Hasil pemeriksaan, kita percaya ada tiga kesan tembakan, namun belum dapat dipastikan kerana saya masih menunggu laporan pegawai yang menjalankan siasatan.

“Motif haiwan liar itu ditembak juga belum dapat dipastikan kerana gading dan dagingnya tidak diambil,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Pagi semalam, Pusat Lapangan Danau Girang (DGFC), sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang membuat kajian berkaitan hidupan liar di Sabah, menerusi laman sosial Facebook mereka berkongsi rakaman video gajah berkenaan.

Video berdurasi satu minit tujuh saat itu dipercayai dirakam pekerja ladang dengan gajah berkenaan masih hidup, selain beberapa kesan tembakan pada badannya.

Hujung tahun lalu, dua gajah termasuk seekor yang memiliki gading membengkok ke bawah menyerupai haiwan prasejarah, ditemui mati di Hutan Simpan Kawag, Lahad Datu.

Gajah jantan dengan gading membengkok ke bawah itu dianggarkan berumur 25 tahun dan dinamakan Sabre. Ketika ditemui 31 Disember lalu, ia hanya tinggal rangka dengan gadingnya hilang diambil pemburu haram.

Disiarkan pada: August 8, 2017 @ 6:40am
d