mutakhir

Gerhana bulan separa di Tanah Suci

Oleh Nasharuddin Muhammad

FENOMENA gerhana bulan separa berlaku di Tanah Suci semalam bermula 6.50 petang waktu tempatan (11.50 malam waktu Malaysia).

Penduduk sekitar Makkah dan jemaah haji yang berada di kawasan Masjidilharam dapat menyaksikan fenomena itu dengan jelas selama lima jam dengan kemuncaknya pada 9.21 malam waktu tempatan (2.21 pagi waktu Malaysia).

Fenomena alam itu berakhir pada 11.30 malam (4.30 pagi waktu Malaysia).

Serentak kemuncak gerhana itu berlaku, diadakan solat sunat khusuf (gerhana bulan) di Masjidilharam dan diikuti dengan khutbah selama 15 minit.

Mengikut falakonline, gerhana bulan separa berlaku apabila sebahagian daripada cahaya matahari yang jatuh pada permukaan bulan terlindung oleh bumi.

Secara am, gerhana itu berlaku apabila bumi berada di antara matahari dan bulan. Walaupun ia nampak seperti sebaris tetapi jika dilihat dari satah tepi, bulan berada sedikit ke atas daripada garisan matahari dan bumi.

Hal itu menyebabkan ia tidak akan dilindungi sepenuhnya oleh bayang-bayang bumi.

Berdasarkan sudut pandangan agama pula, kejadian gerhana bulan itu adalah tanda kebesaran dan kekuasaan Allah SWT kepada hamba-Nya.

Fenomena itu dijangka berlaku sekali lagi pada Julai 2019.

Disiarkan pada: August 8, 2017 @ 1:12pm
d