mutakhir

Dibebaskan dengan bon jaminan RM200,000

Oleh Hayati Ibrahim dan Siti A'isyah Sukaimi

MAHKAMAH Majistret Putrajaya membebaskan bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Felda Investment Corporation (FIC) dan bekas pegawai khas kepada bekas Pengerusi FELDA dengan bon jaminan masing-masing RM200,000 dengan dua penjamin hari ini

Bekas CEO terbabit, Mohd Zaid Abdul Jalil, 46, ditahan reman lapan hari bermula 1 Ogos lalu bagi siasatan pembelian hotel oleh agensi itu di Kensington, London.

Siasatan dijalankan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengikut Seksyen 16 Akta SPRM 2009.

Turut dibebaskan ialah bekas pegawai khas kepada bekas Pengerusi FELDA Muhammad Zahid Md Arip yang sebelum ini ditahan reman lapan hari bermula 1 Ogos lalu bagi membantu siasatan pembelian hotel oleh Felda Investment Cooperation (FIC) di Kuching, Sarawak.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Sementara itu, Pengarah FIC Datuk Nik Azman Mohamed Zain sekali lagi hadir ke Ibu Pejabat SPRM Putrajaya, hari ini, dipercayai untuk memberi keterangan berhubung pembelian hotel di Kuching, Sarawak dan Kensington, London.

Turut hadir dua lagi ahli lembaga pengarah FIC bergelar Datuk untuk memberi keterangan.

Nik Azman dilihat keluar 12.55 tengah hari selepas hampir empat jam memberi keterangan, sementara dua lagi masih berada di dalam bangunan SPRM.

Ketiga-tiga lelaki berkenaan tiba secara berasingan di Ibu Pejabat SPRM kira-kira 9 pagi.

Pada 18 Julai lalu, Nik Azman ditemani Ketua Bahagian Undang-Undang dan Setiausaha FIC Siti Salwani Mohd Salleh hadir memberi keterangan selama hampir lima jam.

Disiarkan pada: August 8, 2017 @ 1:20pm
d