mutakhir

Rampas E-Kad palsu lagi [METROTV]

Oleh Zaid Salim

JABATAN Imigresen Terengganu merampas dua Enforcement Card (E-Kad) palsu daripada dua lelaki warga Indonesia pada operasi dijalankan di sekitar bandar Kuala Terengganu, hari ini.

Pengarah Jabatan Imigresen Terengganu Wan Suhaini Wan Mohamad berkata, E-Kad berkenaan dirampas daripada dua lelaki berusia 35 tahun dan 40 tahun pada pemeriksaan, jam 12.30 tengah hari.

“Melalui pemerhatian mata kasar, kad berkenaan dilihat sama seperti yang dikeluarkan oleh Jabatan Imigresen, hanya menerusi pemeriksaan menggunakan alat khas barulah kita dapat mengenal pasti ia palsu selain faktor fizikalnya seperti gambar serta tulisannya yang kabur.

“Operasi dijalankan di empat tapak pembinaan di sekitar bandar Kuala Terengganu disertai 11 anggota dan pegawai.

“Kami memeriksa 28 warga asing dan lapan daripada mereka yang juga warga Indonesia berusia 20 tahun hingga 40 tahun ditahan kerana melanggar Akta Imigresen,” katanya pada sidang media.

Kes disiasat mengikut Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tinggal lebih masa, Seksyen 6(1)(c) akta sama kerana tidak memiliki dokumen perjalanan sah dan Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 kerana langgar syarat permit.

Semua warga asing itu dibawa ke Depoh Tahanan Imigresen Ajil, Kuala Berang untuk proses lanjut.

Disiarkan pada: August 8, 2017 @ 3:36pm
d