mutakhir

Kes difteria berkurangan

Oleh Nursyahirah Marzuki

LAPAN BELAS kes difteria direkodkan sehingga Sabtu lalu dengan tiga kes kematian dilaporkan termasuk kanak-kanak bukan warganegara.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, tiga kes kematian dilaporkan walaupun selepas pesakit diberikan rawatan anti-toksin.

"Bagaimanapun, jumlah ini lebih rendah berbanding tempoh sama tahun lalu, iaitu 23 kes dengan lima kematian.

"Malah, kes difteria dalam kalangan bukan warga negara pada tahun lalu mencatatkan tiga kes dengan dua kematian berbanding tahun ini yang merekodkan hanya satu kematian," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di Putrajaya, hari ini.

Katanya, satu kes kematian bukan warganegara dilaporkan Jabatan Kesihatan Sabah membabitkan kanak-kanak berusia sembilan tahun kerana tidak mendapat imunisasi difteria yang lengkap mengikut umurnya.

"Kanak-kanak ini mendapatkan rawatan di Hospital Duchess of Kent, Sandakan pada 21 Julai selepas mengalami demam, batuk, sakit tekak dan muntah sejak 18 Julai lalu.

"Hasil pemeriksaan mendapati terdapat selaput putih di tekaknya dan diberikan 10 vial anti-toksin difteria sebagai rawatan awal termasuk pemberian antibiotik.

"Kanak-kanak itu bagaimanapun meninggal dunia pada 26 Julai lalu," katanya.

Dr Noor Hisham berkata, selepas menjalani ujian kultur kali kedua ke atas swab tekak kes berkenaan didapati positif bakteria Corynebacterium Diphtheria.

"Pejabat Kesihatan Daerah Sandakan juga sudah membuka bilik gerakan bagi memantau dan menyelaras aktiviti pencegahan dan kawalan yang dilaksanakan," katanya.

Disiarkan pada: August 8, 2017 @ 4:01pm
d