mutakhir

Inspektor lelaki berseluar dalam di tandas wanita

Oleh Aizat Sharif

SEORANG lelaki yang juga pegawai polis berpangkat Inspektor ditahan ketika hanya berseluar dalam di tandas wanita di sebuah pusat beli belah di Alor Setar dekat sini, hari ini.

Ketua Polis Kedah Datuk Asri Yusoff berkata, penahanan pegawai berusia 32 tahun itu dibuat berikutan maklumat yang tular di media sosial mengenai kelakuan pegawai polis yang sering memasuki tandas wanita di premis berkenaan akhir-akhir ini.

“Tangkapan dibuat jam 12.30 tengah malam tadi selepas kami menerima maklumat terdapat individu sedang menimbulkan suasana tidak senang dalam kalangan pengunjung yang masih lagi berada di pusat beli belah berkenaan pada waktu itu.

“Anggota polis peronda yang dimaklumkan mengenai perkara itu bergegas ke premis berkenaan dan mendapati seorang lelaki yang tidak berpakaian dan hanya berseluar dalam berada dalam tandas wanita di tingkat empat pusat beli belah terbabit,” katanya pada kenyataan.

Menurut beliau, pemeriksaan mendapati lelaki terbabit adalah pegawai polis berdasarkan kad kuasa yang ditemui bersamanya.

“Pemeriksaan pada beg dibawa suspek menemui satu paket plastik lut sinar mengandungi ketulan kristal dipercayai dadah jenis syabu seberat 0.62 gram.

“Hasil ujian air kencing dijalankan mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine dan lelaki terbabit kini direman.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Disiarkan pada: August 8, 2017 @ 8:16pm
d