mutakhir

385 kakitangan LKIM lafaz ikrar bebas rasuah

Puchong: Seramai 385 pegawai dan kakitangan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) melafazkan ikrar bebas rasuah (IBR) dalam usaha meningkatkan kualiti dan integriti sistem penyampaian agensi di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) itu.

Ketua Pengarah LKIM, M Saedon Ab Majid berkata, agensi itu turut tidak berkecuali dalam memastikan setiap individu yang menandatangani ikrar akan lebih bertanggungjawab dalam melaksanakan tugas mereka serta menjauhkan diri daripada sebarang perlakuan rasuah selama memegang sesuatu jawatan.

Menurutnya, ia juga selaras dengan Unit Integriti LKIM yang diwujudkan sejak 1 Mac 2014 di bawah Pejabat Ketua Pengarah LKIM untuk melaksanakan enam fungsi terasnya selaku peneraju pembangunan nelayan dan industri perikanan negara.

“Kami memikul tanggungjawab besar dalam memperbaiki kedudukan sosio-ekonomi nelayan dengan penumpuan kepada peningkatan pendapatan serta memperkembang dan memajukan perusahaan perikanan negara.

“Justeru, penekanan ikrar dan janji yang dibuat secara sukarela ini penting supaya setiap individu akan melaksanakan tugas dengan lebih bertanggungjawab dan menjauhkan diri daripada rasuah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Menandatangani IBR di Dewan Besar Wisma LKIM, Pulau Meranti, Puchong di sini semalam.

Turut hadir Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Abdul Samat Kasah.

Sementara itu Abdul Samat berkata, LKIM menjadi agensi ketiga di bawah MOA yang berani dan ikhlas menyahut seruan SPRM menandatangani IBR sekali gus membuktikan keterbukaan dan ketelusan agensi berkenaan.

Disiarkan pada: August 9, 2017 @ 4:18am
d