mutakhir

Sanggup tunda bedah tulang belakang

Kelana Jaya: Demi merealisasikan impian menunaikan haji, seorang warga emas sanggup menunda pembedahan tulang belakang bagi memastikan dia tidak terlepas peluang menjejakkan kaki ke Tanah Suci.

Malah, warga emas Khairuddin Omar, 61, berasal dari Masai, Johor Bahru, rela menanggung kesakitan dan berkerusi roda untuk menunaikan haji,

Khairuddin berkata, dia mengalami masalah tulang belakang sejak lima tahun lalu menyebabkannya sukar berjalan dan melakukan aktiviti berat.

Menurutnya, dia mengumpul wang sejak 10 tahun lalu selain berjimat cermat supaya wang simpanan Tabung Haji mencukupi.

“Saya sudah menunggu sejak 10 tahun lalu untuk menunaikan haji seterusnya tidak menjadi masalah jika hanya menanggung kesakitan untuk tempoh 50 hari saja.

“Walaupun mengalami kesukaran, saya sudah membuat persiapan termasuk membawa ubat mencukupi jika mengalami kesakitan,” katanya ketika ditemui, di Kompleks Tabung Haji.

Bapa kepada empat anak itu berkata, dia ditemani isteri Zainab Hasan, 62, yang akan membantu sepanjang berada di Tanah Suci nanti.

“Saya sudah nekad untuk ke Tanah Suci walaupun terpaksa menanggung kesakitan kerana itulah impian yang belum tercapai lagi dan jika menolak mungkin tiada kesempatan untuk menunaikan haji.

“Isteri banyak membantu terutama dari segi persediaan seperti membawa saya ke kelas atau program yang dikendalikan oleh pihak Tabung Haji,” katanya.

Sementara itu, Zainab berkata, dia berharap segala-galanya berjalan lancar dan mendapat haji mabrur walaupun keadaan suami serba kekurangan.

Disiarkan pada: August 9, 2017 @ 5:24am
d