mutakhir

PTVM jadi rakan SPRM

Oleh Nursyahirah Marzuki

PERSATUAN Penerbit Televisyen Malaysia (PTVM) membuat kunjungan hormat ke Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Putrajaya bagi membanteras gejala rasuah dalam kalangan penggiat industri di negara ini.

Presiden PTVM, Datuk Jurey Latiff berkata, pihaknya mengambil langkah untuk mengadakan perbincangan dengan SPRM selepas timbul isu 'duit tepi' dalam mendapatkan projek siaran di stesen televisyen.

"Hari ini kita berpeluang untuk mengadakan pertemuan dengan Ketua Pengarah SPRM Datuk Dzulkifli Ahmad bagi mendengar cara atau proses dalam melaporkan aktiviti rasuah kepada agensi ini.

"Selepas pertemuan tadi, kita bersetuju untuk mengadakan taklimat dan dialog mengenai rasuah bersama ahli PTVM yang terdiri daripada syarikat penerbitan di negara ini," katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat SPRM, hari ini.

Hadir sama pelakon dan penerbit drama, A Aida.

Jurey berkata, pegawai tertinggi agensi penguatkuasaan itu akan memberi penjelasan mengenai rasuah kepada 140 ahli PTVM pada 15 Ogos ini sempena Mesyuarat Agung PTVM di Finas, Kuala Lumpur.

"Sebelum ini sudah banyak kali kami mendengar 'cakap-cakap' mengenai pembayaran untuk mendapatkan hak penyiaran di stesen televisyen namun, tiada sebarang laporan dibuat.

"Oleh itu, hari ini kami membuat keputusan untuk menjadi rakan SPRM bagi membantu membanteras penyakit rasuah di dalam industri seni di negara ini," katanya.

Disiarkan pada: August 9, 2017 @ 1:41pm
d