mutakhir

Histeria cuba terjun 18 meter [METROTV]

Oleh Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi

TINDAKAN pantas sepasukan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bagan Serai berjaya menyelamatkan nyawa pelajar perempuan yang dipercayai cuba terjun dari tangki air sekolah di Bagan Serai, hari ini.

Ketua Operasi BBP Bagan Serai Penolong Bomba Kanan II Nasir Wahab berkata, dalam kejadian yang diterima pihaknya pada 10.55 pagi itu pelajar perempuan tingkatan empat itu dilaporkan diserang histeria dan memanjat serta cuba terjun dari tangki air pada ketinggian 18 meter.

Menurutnya tujuh anggota termasuk dua anggota unit EMRS dikejarkan ke lokasi kejadian bagi menjalankan operasi menyelamat mangsa.

"Setibanya di lokasi, kelihatan pelajar dan guru dalam keadaan cemas dan mereka menyusun tilam bagi menyelamatkan mangsa.

"Lima anggota memanjat dan cuba memujuk mangsa namun gagal malah mangsa bertindak memanjat penghadang besi tangki air.

"Proses memujuk memakan masa hampir 10 minit namun pada ketika mangsa terleka, seorang anggota berjaya menerpa memegang mangsa sebelum tindakan sama dilakukan anggota lain," katanya.

Menurutnya, mangsa kemudianya dibawa turun ke bawah dan diserahkan kepada pihak sekolah untuk tindakan lanjut dan operasi ditamatkan pada jam 11.38 pagi.

Disiarkan pada: August 9, 2017 @ 2:33pm
d