mutakhir

Bombardier CL415 MP bantu padam kebakaran hutan

Oleh Nursyahirah Marzuki

AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menggunakan pesawat Bombardier CL415 MP bagi membantu operasi pemadaman api di hutan simpan Kuala Langat Utara, Kuala Langat, Selangor, hari ini.

Pengarah Cawangan Operasi Udara Maritim Malaysia Brigadier Jeneral Datuk Rosni Aziz berkata, pihaknya terbabit secara langsung dengan membuat 18 curahan air bagi membantu memadam kebakaran yang dianggarkan seluas 21 hektar di hutan berkenaan.

“Pesawat Bombardier CL415 MP ini mencurah kira-kira 108,000 liter air ke kawasan kebakaran dan sumbernya diperoleh dari Tasik Putrajaya.

“Kami juga tidak berdepan kesulitan ketika melakukan penerbangan memandangkan jarak penglihatan masih melebihi 10 kilometer,” katanya pada kenyataan.

Menurut beliau, selepas melakukan 'water bombing', kebakaran terkawal selain asap tidak begitu tebal.

“Penerbangan dibuat jam 10 pagi dan berakhir jam 3 petang, hari ini.

“Pesawat diterbangkan oleh Leftenan Komander (M) Mazlan Ariffin, Leftenan Komander (M) Yusni Sari dan Leftenan Komander (M) Mohd Munir Mohamad serta dibantu oleh PW II (M) Mayati Mahodi selaku kru pesawat,” katanya.

Disiarkan pada: August 9, 2017 @ 5:10pm
d