mutakhir

Curah air dari udara

Oleh Nursyahirah Marzuki

Putrajaya: Sebuah pesawat milik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) melakukan penerbangan bagi membantu operasi pemadaman api di hutan simpan Kuala Langat Utara, Selangor, semalam.

Pengarah Cawangan Operasi Udara Maritim Malaysia, Brigadier Jeneral Datuk Rosni Aziz berkata, pihaknya terbabit secara langsung dengan membuat 18 curahan air bagi membantu memadam kebakaran yang dianggarkan seluas 21 hektar di hutan itu.

“APMM menggunakan pesawat Bombardier CL415 MP dan melakukan curahan sebanyak 108,000 ribu liter air ke kawasan kebakaran berkenaan dan sumber airnya berpunca dari Tasik Putrajaya.

“Kita juga tidak menghadapi sebarang kesulitan ketika melakukan penerbangan memandangkan jarak penglihatan masih melebihi 10 kilometer,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, semalam.

Katanya, selepas melakukan ‘water bombing’ kebakaran terkawal malah, tidak kelihatan api menyala besar dan asap tidak begitu tebal.

“Penerbangan dilakukan seawal jam 10 pagi dan berakhir sekitar jam 3 petang tadi (semalam).

“Pesawat diterbangkan oleh Leftenan Komander (M) Mazlan Ariffin, Leftenan Komander (M) Yusni Sari dan Leftenan Komander (M) Mohd Munir Mohamad serta dibantu oleh PW II (M) Mayati Mahodi selaku kru pesawat,” katanya.

Disiarkan pada: August 10, 2017 @ 5:21am
d