mutakhir

Nenek pecah pintu selamat nyawa cucu

Tasek Gelugor: “Saya sesak nafas kerana terhidu asap, tetapi tak boleh keluar. Nasib baik nenek pecahkan pintu dan selamatkan saya,” kata Sharifah Aini Najla Syed Azlan, 13, yang terselamat dalam kebakaran di Permatang Sungai Dua, dekat sini, malam kelmarin.

Dalam kejadian jam 7.45 malam itu, remaja berkenaan tidur sendirian, manakala ibunya, Siti Noor Husain, 41, ke kedai berhampiran bersama abangnya berusia 17 tahun.

Dia terjaga sebaik terhidu asap lalu membuat pemeriksaan dan mendapati bahagian dapur terbakar.

Sharifah Aini berkata, dia cuba menyelamatkan diri, tetapi pintu berkunci dari luar sebelum terdengar suara nenek memanggil namanya beberapa kali.

“Saya panik kerana terhidu asap hingga hampir pitam. Nasib baik nenek serta rakannya membuka pintu di tingkat atas dan membantu saya keluar.

“Bagaimanapun, semua barang serta perabot tidak sempat diselamatkan kerana api marak dengan cepat,” katanya, di sini, semalam.

Sementara itu, nenek Sharifah Aini, Sharifah Rojmah Syed Othman, 66, berkata, dia tinggal di rumah bersebelahan sebelum terhidu bau hangit lalu bergegas keluar.

“Saya sedang ambil wuduk untuk solat Maghrib sebelum terhidu bau hangit. Sebaik keluar, saya nampak asap tebal menyelubungi rumah didiami cucu lalu menjerit memintanya menyelamatkan diri.

“Dia (Sharifah Aini) beritahu tidak dapat keluar kerana pintu dikunci sebelum saya pecahkan pintu di tingkat atas dengan bantuan rakan walaupun saya hampir sesak nafas,” katanya.

Dalam pada itu, jurucakap bomba berkata, jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kepala Batas, BBP Butterworth dan BBP Prai diketuai Penguasa Bomba Kanan II Mohd Hafiz Ismail bergegas ke tempat kejadian sebaik menerima panggilan jam 7.49 malam.

Katanya, sebaik sampai, pihaknya mendapati api marak memusnahkan rumah dua tingkat dengan bahagian atasnya terdiri daripada kayu dan papan, tetapi kebakaran dikawal 10 minit kemudian.

Disiarkan pada: August 10, 2017 @ 5:39am
d