mutakhir

Bincang isu keselamatan

Kuala Lumpur: Isu keselamatan termasuk berkaitan jenayah pemerdagangan orang, kerjasama dua hala Malaysia dan Amerika Syarikat (AS) antara fokus dibincangkan dalam pertemuan antara Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Setiausaha Negara Amerika Syarikat Rex Tillerson, semalam.

Ahmad Zahid berkata, dalam pertemuan selama 40 minit itu beliau berbincang dengan Tillerson dan bertukar pandangan mengenai perkembangan keselamatan dan juga isu serantau dan antarabangsa berkepentingan.

“Interaksi di antara pemimpin kedua-dua negara diharap dapat memperkukuhkan kerjasama dua hala serta menjadi pemangkin untuk Malaysia dan Amerika meningkatkan hubungan dan persefahaman bersama,” katanya dalam kenyataan dikeluarkan sempena pertemuan itu di bangunan Parlimen.

Tillerson yang melakukan lawatan kerja dua hari ke Malaysia bermula semalam adalah pegawai tinggi pertama Amerika Syarikat yang mengunjungi Malaysia di bawah pentadbiran Presiden Donald Trump. Ia juga kunjungan pertama beliau ke Malaysia sejak dilantik ke jawatannya pada 1 Februari lalu.

Dalam menangani ancaman jenayah rentas sempadan termasuk pemerdagangan orang, Ahmad Zahid berkata, Malaysia perlu menjalin kerjasama dengan negara rakan strategik termasuk AS.

Katanya, inisiatif negara mengenai isu itu diiktiraf Jabatan Negara AS (JNAS) dalam Laporan Tahunan 2017 yang meletakkan Malaysia di Tahap Dua.

Ahmad Zahid berkata, Malaysia sudah mencapai Tahap Dua berbanding Tahap Dua (Pemerhatian) pada tahun lalu kerana sudah menunjukkan peningkatan yang drastik dari aspek sabitan bagi jenayah ini (100 sabitan tahun 2017) termasuk peningkatan dari aspek penguatkuasaan.
- BERNAMA

Disiarkan pada: August 10, 2017 @ 5:49am
d