mutakhir

Bina Kompleks Masjid Al-Quddus

“Kami hanya mahukan yang terbaik untuk umat Islam. Walaupun mereka golongan minoriti iaitu hanya 25 keluarga, tetapi tidak mustahil satu hari nanti Taupo berkembang menjadi kawasan tumpuan pelancong mengenali Islam,” kata Presiden Muslim Care Malaysia Society (Muslim Care) Zulkifli Wahijan.

Walaupun umat Islam
di daerah ini hanya satu peratus, namun keperluan mendesak untuk membina sebuah masjid dan pusat Islam menyebabkan badan bukan kerajaan itu tampil memudahkan urusan pembinaannya.

Kompleks Masjid Al-Quddus, di sini, bakal dibina di atas tapak berkeluasan 1,017 meter persegi dilengkapi pelbagai kemudahan seperti masjid, kelas pengajian, dewan serbaguna dan kafe halal untuk menarik umat Islam ke daerah itu.

Taupo yang menjadi lokasi strategik persinggahan pelancong terletak di tengah laluan antara Wellington dan Auckland.

Zulkifli bersama Timbalannya Johari Ismail, Setiausaha Agung Zakaria Abd Latiff dan wartawan Harian Metro berlepas ke Taupo, kelmarin, untuk program Misi Dakwah Pertama ke New Zealand, selain melihat tapak projek kompleks berkenaan.

Zulkifli berkata, pembinaan kompleks masjid di Taupo menjadikan New Zealand negara kesembilan yang menerima bantuan Muslim Care.

Menurutnya, sumbangan orang ramai boleh disalurkan menerusi tiga akaun Muslim Care iaitu Maybank 564490413882, Bank Islam 14014010147470 dan Bank Muamalat 14010007654717.

Katanya, lawatan di tapak projek, semalam, berjalan lancar dan pihaknya akan cuba mendapatkan pihak berkuasa tempatan di sini untuk memudahkan lagi urusan pembinaan berkaitan pembangunan di daerah itu.

“Kompleks ini bakal menjadi pusat sehenti yang menggabungkan masjid, kelas pengajian, dewan serbaguna untuk ceramah dan kafe halal untuk kegunaan minoriti Islam di daerah itu serta pelancong asing.

“Pembinaan kompleks masjid ini adalah dakwah pertama kita di New Zealand bagi mengurangkan Islamofobia dalam kalangan masyarakat barat,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya turut berharap orang ramai mendapat ‘saham akhirat’ dengan menyumbang dalam projek berkenaan yang dijangka menelan belanja RM3 juta untuk fasa pertama.

Disiarkan pada: August 10, 2017 @ 6:18am
d