mutakhir

Siasat sama ada wujud unsur provokasi

Oleh Mohd Ruzaini Zulkepli

POLIS menyiasat sekiranya wujud unsur provokasi dalam kejadian Ketua Editor akhbar New Sabah Times, Pung Chen Choon, 65, yang diserang sehingga pengsan oleh seorang lelaki di sebuah stesen minyak di Luyang, Kota Kinabalu pada 5 Ogos lalu.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner M Chandra berkata, hasil siasatan awal dan pemeriksaan rakaman sistem kamera litar tertutup (CCTV) stesen minyak, pihaknya mendapati mangsa terdahulu menghampiri suspek yang difahamkan sedang mengisi minyak motosikalnya.

Beliau berkata, berdasarkan CCTV, kejadian serangan terhadap mangsa adalah benar namun rakaman menunjukkan ada unsur provokasi sebelum kejadian itu berlaku.

Menurutnya, polis kini meminta suspek yang dipercayai berbangsa Cina berusia 30-an itu tampil untuk membantu siasatan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.

"Kita masih siasat jika ada sebarang unsur provokasi dalam kes ini. Setakat ini, tiada sebarang tangkapan dilakukan selain polis meminta suspek segera tampil bagi membantu siasatan," katanya dalam sidang media selepas Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu, hari ini.

Dalam kejadian 2.45 pagi pada 5 Ogos lalu, Pung dipercayai baru saja selesai minum dengan rakannya dan memandu kenderaan berseorangan sebelum diekori oleh suspek yang menunggang motosikal.

Berdasarkan keterangan mangsa, dia kemudian memberhentikan kereta di sebuah stesen minyak sebelum menghampiri suspek.

Suspek kemudian menyerang Pung menggunakan topi keledar sehingga menyebabkannya lelaki itu cedera dan pengsan di lokasi kejadian.

Chandra dalam pada itu turut meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kejadian terbabit untuk tampil segera membantu siasatan.

"Mangsa yang lebam pada mata, bengkak rahang dan pipi sebelah kiri sudah dibenarkan pulang selepas mendapatkan rawatan di hospital.

"Setakat ini, kes itu masih disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan," katanya.

Disiarkan pada: August 10, 2017 @ 10:54am
d