mutakhir

11 lagi pelajar direman [UPDATE]

Oleh Zatul Iffah Zolkiply

SEBELAS lagi pelajar Kolej Vokasional Wakaf Tembesu, Kuala Nerus, Terengganu ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes buli membabitkan seorang lagi pelajar di sekolah berkenaan.

Ketua Polis Terengganu Datuk Aidi Ismail berkata, semua suspek berusia 17 tahun ditahan di asrama dan rumah masing-masing bermula 5 petang semalam hingga awal pagi ini.

Beliau berkata, mereka yang ditahan dipercayai terbabit dalam kejadian buli membabitkan seorang lagi pelajar sekolah sama.

"Malah, dua daripada mereka turut dipercayai terbabit dalam kejadian buli membabitkan dua mangsa.

"Semua suspek dibawa ke Mahkamah Majistret Kuala Terengganu bagi mendapatkan perintah reman dan mahkamah membenarkan mereka direman selama tiga hari sehingga Sabtu.

"Sehingga kini, kita sudah menahan 26 orang dan tidak menolak kemungkinan akan menahan beberapa lagi pelajar.

"Berdasarkan siasatan, kejadian ini berpunca daripada rasa tidak puas hati antara pelajar senior dan junior," katanya ketika ditemui di Terengganu International Endurance Park di Lembah Bidong, Permaisuri, hari ini.

Terdahulu, semua suspek tiba di perkarangan mahkamah kira-kira 9 pagi sambil diiringi polis.

Perintah reman itu dikeluarkan Penolong Pendaftar Mahkamah Majistret Kuala Terengganu, Roszita Md Saad bagi siasatan mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh.

Dalam perkembangan kes itu, mangsa, Muhammad Luqman Hakim Mohd Shukri, 17 , mendakwa dipukul sekumpulan pelajar sebaya kira-kira 9.30 malam di surau kolej berkenaan pada Selasa lalu.

Mangsa mendakwa dipukul sekali lagi satu jam kemudian di bilik asrama pada hari yang sama.

Disiarkan pada: August 10, 2017 @ 2:34pm
d