mutakhir

Dijangka pulang malam ini

Oleh Muhaamad Hafis Nawawi

PROFESOR Madya Md Zahir Mat Cha, 51, yang koma diserang angin ahmar di Sydney, Australia sejak 31 Julai lalu dijangka dibawa pulang ke Malaysia 10 malam ini dari Sydney, Australia, bagi menerima rawatan susulan di sini.

Anaknya, Nur Asniza Md Zahir, 22, berkata, ahli keluarga bersama Wisma Putra kini sedang menguruskan untuk membawa pulang bapanya selepas keadaannya semakin stabil.

Menurutnya, bapanya dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) 5 pagi esok dan akan dirawat sama ada di Hospital Kuala Lumpur (HKL) atau Hospital Sungai Buloh.

"Kos rawatan di sana juga setakat seminggu ini sudah mencecah AUD$83,000 (RM280,595) dan jumlah terkumpul setakat ini hasil bantuan rakyat Malaysia dan UMNO Kedah termasuk pihak UUM (Universiti Utara Malaysia) sebanyak RM150,000.

"Saya juga ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pihak yang sudi menghulurkan bantuan meringankan beban kami dan berharap ayah akan pulih dan selamat kembali ke Malaysia," katanya kepada pemberita selepas menerima sumbangan AUD$10,000 (RM34,000) daripada Biro Kebajikan UMNO Kedah (BKUM) hari ini, di Wisma Darulaman, Alor Setar, hari ini.

Sementara itu, Pengerusi BKUM Kedah, Datuk Abdullah Hasnan Kamaruddin berkata, sumbangan ini diberikan untuk membayar kos rawatan dan membawa pulang Md Zahir yang juga Timbalan Pengarah Pusat Asasi Pengurusan UUM Sintok.

"Diharapkan sumbangan ini akan dapat meringankan beban mereka dan UMNO Kedah akan terus membantu selepas ini sehingga Md Zahir pulih.

"Selepas sumbangan ini, kita akan meminta ahli UMNO Kedah turut membantu menyalurkan sumbangan bagi meringankan beban keluarga ini dan berharap rakyat Malaysia akan terus menyumbang," katanya.

Harian Metro Sabtu lalu melaporkan keluarga Md Zahir mohon bantuan untuk membawanya pulang dari Australia untuk mendapatkan rawatan dalam negara.

Md Zahir, 51, diserang angin ahmar ketika berada di Sydney, Australia, sebelum dikejarkan ke Unit Rawatan Rapi di Hospital St Vincent.

Sehubungan itu, keluarga itu merayu bantuan dan mereka yang ingin menghulurkan sumbangan boleh menghubungi Mastah di 013-5837145 atau menyalurkannya melalui akaun Maybank 152050178892.

Berita berkaitan:

Dilema keluarga profesor

Disiarkan pada: August 10, 2017 @ 2:55pm
d