mutakhir

Ajal terjatuh dalam tong ikan

Oleh Mohd Shukor Amin

NELAYAN maut selepas tergelincir sebelum terjatuh ke dalam tong ikan di dalam bot ketika dalam perjalanan pulang selepas menangkap ikan di laut petang semalam.

Mangsa dikenali Nazaruddin Abd Rahman, 39, nelayan dari Bagan Parit Baharu Baruh, Sabak Bernam.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam Superintendan Nor Azmi Isa berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 6 petang ketika nelayan itu tergelincir sebelum terjatuh ke dalam tong berisi ikan berketinggian dua meter.

"Mangsa tergelincir dan terjatuh ke dalam tong ikan itu akibat permukaan lantai licin.

"Rakan mangsa yang terkejut dengan kejadian itu kemudian mengeluarkan mangsa dari tong ikan namun didapati mangsa tidak bernyawa," katanya.

Beliau berkata, mayat mangsa dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Jemaah (HTAJ) Sabak Bernam untuk dibedah siasat.

"Siasatan awal tidak menunjukkan sebarang perbuatan jenayah dan hasil bedah siasat mendapati mangsa mati lemas," katanya.

Disiarkan pada: August 10, 2017 @ 4:48pm
d