mutakhir

Pulanglah...

Oleh Raja Noraina Raja Rahim

SEORANG wanita bimbang keselamatan anak perempuan dan cucu lelakinya yang hilang dipercayai melarikan diri dari rumah di Taman Marida, Senawang, Seremban, sejak tiga hari lalu.

Zalida Mohd Alias, 37, berkata anak sulung daripada empat beradik itu, Intan Nur Anisa Abdullah, 17, membawa anaknya Muhammad Arqam Mustaqim Abdullah berusia dua tahun keluar rumah jam 1.40 tengah hari, pada Isnin.

Menurutnya, ketika kejadian dia tiada di rumah kerana menghantar makanan kepada dua anaknya di sebuah sekolah kebangsaan berhampiran rumah.

"Apabila pulang, saya mendapati Intan dan anaknya itu sudah tiada. Saya segera mencarinya dan jiran memberitahu ada melihat Intan membawa Arqam serta beg pakaian keluar rumah.

"Saya cuba menghubunginya beberapa kali tetapi gagal. Malah, saya juga ada bertanya rakan Intan tetapi mereka mendakwa tidak mengetahui ke mana Intan pergi," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Katanya, sejak kehilangan itu dia runsing kesihatan cucunya yang menghidap penyakit Glucose-6-Phosphate Dehydrogenase (G6PD) iaitu kekurangan sel darah merah.

Tambahnya, Arqam memerlukan perhatian sepenuh masa selain rawatan susulan kerana penyakit dihidapinya itu boleh membahayakan nyawa sekiranya tidak diberi rawatan.

Zalida berkata, dia sudah membuat laporan di Balai Polis Senawang dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban, pada Selasa.

Zalida meminta bantuan orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai anak serta cucunya itu supaya menghubunginya ditalian 017-6221993.

Disiarkan pada: August 10, 2017 @ 6:04pm
d